Biasa kita melewati dan membaca di media sosial saudara mara kita dan sahabat handai kita yang menulis bercerita tentang pengalaman mereka di tanah suci. Lebih 40 hari bermukim di sana sudah pasti banyak yang dialami dan worth untuk dikongsi; sebagai panduan kepada orang lain atau sekadar menukilkan catatan buat kenangan dan tatapan sendiri di masa akan datang.
Saya sangat suka membacanya. Terima kasih kepada teman-teman kerana berkongsi cerita-cerita yang sedap dibaca. Pengalaman menarik yang digarapkan melalui tulisan dengan susunan kata-kata yang sangat teratur dan bahasa yang indah membuatkan seolah-olah kita mengalaminya sendiri. Terbit nyalarasa ingin dan rindu untuk ke sana pada masa akan datang.
Adakalanya cerita berkisar tentang pengalaman yang kurang enak sama ada dialami sendiri atau para jemaah lain, sebagai tauladan dan sempadan diri dengan iringan doa agar tidak tertimpa pula kepada tetamu lain nanti pada tahun-tahun yang mendatang.
Saya follow dan membaca setiap catatan yang melewati di medsos saya terutama di fesbuk. Malah mengulang baca beberapa kali.
Namun saya adakalanya sangat terganggu dengan kebanyakan komen ‘sibuk’ ingin bercerita pengalaman sendiri semasa ke tanah suci; sama ada ketika melaksanakan ibadah umrah atau pun haji dulu-dulu.
Pada saya, simpan jelah komen-komen sebegitu.
Saya cadangkan mereka cukup sekadar komen “saya ada pengalaman serupa (atau berbeza), boleh baca di wall saya (link)…” Kecuali posting asalnya menjemput para pembacanya berkongsi pengalaman masing-masing di ruangan komen. Jika tidak, usah menyampuk dengan cerita sendiri.
Kenapa kita tidak meraikan sahaja cerita dan pengalaman si penulis? Boleh sahaja komen dengan pertanyaan-pertanyaan berkisar kepada cerita-cerita pengalaman mereka itu. Atau sekadar menulis komen dengan frasa doa agar kita juga diberi peluang sedemikian nanti.
Anda biasa bersembang-sembang dengan sekumpulan rakan-rakan? Apabila si A memulakan cerita, si B pun mencelah, “aah, aku pun sama, (atau aku pulak lain)…” si A terkulat-kulat kena potong!
Lebih kurang begitu lah.
Sangat annoying! kan?
Semasa bersembang-sembang, dengar je dulu cerita kawan tu, fahami, tanyalah soalan-soalan berkaitan, minta penjelasan lanjut juga boleh. Last sekali kalau kita nak sangat bercakap, boleh bagi pendapat atau rumusan daripada cerita kawan tadi, selepas dia habis bercerita.
Kadang-kadang, dalam mesyuarat juga ada golongan sebegitu! Baik kita diam je lah. Tak perlu cakap apa-apa lagi. “Ya lah, kau betul!”
Haha!