Birang… seorang pengawal

Posted: Julai 27, 2008 in alamsekitar, motivasi

Pak Cik Jaga, biskut dan kucing
Azamin Amin
Thu | Jul 17, 08 | 3:00:11 pm MYT

Begitulah hakikat naluri hati dalam menafsirkan hubungan istimewa saya sebagai wartawan Harakah yang bersikap ‘kejam’ dengan pengawal keselamatan berhati manusia.

Mungkin tidak ada sesiapa yang dapat merakam perjalanan sejarah hidupnya memandangkan dia bukanlah nama besar atau tokoh ternama. Jauh sekali dikenali ramai malah tugasnya dianggap temeh, hanyalah menjaga keselamatan Bangunan dan petugas Harakah.

Peranan yang dilihat kecil kadang-kadang merupakan sumbangan besar di sisi Allah SWT, malah akan disanjung setelah merasa kehilangannya.

‘Birang’ namanya yang saya tidak ketahui daripada asalnya adalah merupakan teman dan rakan sepejabat para wartawan dan petugas Harakah yang bertugas lewat malam atau ke subuh terutama pada waktu ‘deadline’.

” Azamin,” Birang memanggil nama ketika saya sedang khusyuk mengadap peti komputer.

“Datanglah ke kedai Pak Cik, makan roti canai. Semua kawan-kawan sudah datang, Azamin sahaja yang belum,” sambungnya lagi.Birang berniaga kecil-kecilan di waktu pagi manakala malamnya bertugas sebagai Pak Cik Jaga.

“Aaa…ya..ya nanti..” jawab saya acuh tak acuh. Saya tidak melayan secara betul Pak Cik Jaga yang ramah itu kerana sibuk dengan tugasan yang tidak pernah habis dan sudah.

Bukan bersikap sombong tetapi ada masanya dek kerana menumpukan kepada tugasan, saya lupa ‘bercampur’ dengan orang…..’macamlah bagus sangat saya ni’.

Begitulah hari demi hari berlalu dan perkenalan saya dengan pak cik Birang menjangkau usia dua tahun. Diam tak diam, dialah peneman di kala malam walaupun adakalanya saya tidak mengendahkan keramahan dan coletehnya yang panjang.

Namun tanpa kehadiran pak cik , terasa sunyi sekali. Kalau ada, terasa seperti ada radio di sisi….umpama muzik laksana irama dan lagu tak dapat dipisahkan.

Ada waktu tertentu saya rancak berbual dengannya tetapi paling banyak masa ialah mendengar ceritanya yang tiada nokhtah. Rajin juga berceloteh tentang politik malah idolanya ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Mohamad Nor. Bak kata orang dia ‘hardcore- fan’ atau peminat nombor satu.

Kadang-kadang sembang-sembangnya tentang politik, saya ceduk dan petik sebagai ulasan serta suara hati orang kebanyakan. Adakalanya buah fikirannya bernas, jauh lebih baik dari sesetengah ahli politik.

“Makan dulu sikit, nanti sambung balik kerja,” katanya sambil menyua biskut yang dibawa dari rumah kepada saya. Bila saya menolak, dia berlalu tanpa menganggu saya lagi dan duduk di tempat penyambut tetamu.

Satu lagi kebiasaan pak cik ialah suka memberi makanan kepada kucing yang berkeliaran sekitar bangunan Harakah dan telah dilakukan semenjak beliau mula bertugas lebih tiga tahun lalu. Beliau membawa makanan kucing yang dibawa daripada rumah.

Sehinggakan jika kelibat pak cik ini tiba dengan menaiki motor untuk bertugas, pasti beberapa ekor kucing dengan pantas meluru kerana tahu ‘rezeki’ sudah sampai.

Nampaknya kali ini saya kehilangan seorang penganalisis politik yang mewakil suara rakyat bawahan. Kalau ada dia mungkin boleh mencebiskan satu dua pandangan tentang muzakarah PAS-Umno atau pun penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat Di Malaysia. Pasti dia tidak menghampakan saya dengan lontaran idea-ideanya.

Pak Cik Birang tidak pernah mengambil cuti, setiap malam wajahnya pasti ada untuk menemani sesiapa yang bertugas malam. Dia hanya mengambil cuti seminggu sebelum Hari Raya kerana mahu beribadah 10 malam terakhir malah dia akan menyambung tugasnya di Bangunan Harakah pada Hari Raya pertama.

Saya akan kenang Birang kerana kesukaannya memberi makanan kepada kucing dan tanpa segan silu mempelawa mana-mana wartawan Harakah untuk menjamu biskut yang dibawa dari rumah.

Selain itu beliau sering memastikan saya atau rakan setugas Wan Nordin supaya tidur di tempat yang selesa setelah penat berjaga malam menyiapkan tugasan dan paling memalukan dialah yang mengejutkan kami untuk menunaikan solat subuh sebelum kami ‘terbabas’.

Dua minggu lalu sewaktu bertugas, dia mengadu sakit dada lantas dibawa ke hospital.Saya diajak rakan-rakan untuk menziarahinya namun seperti ‘hati- batu’ saya menolak dengan alasan sama – sibuk menyiapkan tugasan. Pada andaian saya, sempat untuk melawatnya di kemudian hari.

Namun janji Allah itu benar dan andaian saya ternyata silap kerana Birang akhirnya kembali ke rahmatullah jam 2.00 pagi 17 Julai 2008…tanpa saya sempat menjamah roti canai buatannya atau menyapanya buat kali terakhir.

Benarlah kata pepatah, setelah ‘kita menyedari untuk membuat kebaikan kepada seseorang, kita sebenarnya sudah terlambat’.

Dan paling ‘kejam’ tatkala kawan-kawan mengajak menziarahi jenazahnya buat penghabisan, saya dengan berat hati menolak buat kali yang kedua kerana ditugaskan ke Parlimen dan urusan menyiapkan berita-berita yang lain. Nampaknya saya masih punya sikap itu walaupun Birang sudah pun mendiamkan diri.

Ya….ya..kali terakhir melihat wajah sayunya ialah ketika menghulurkan biskut kepada saya….dan memercik air mata ketika berada di Parlimen, betapa saya masih bersikap ‘kejam’ di saat Pak Cik Jaga meninggalkan saya buat selama-lamanya….

Pemergiaannya membuat saya menukilkan semula sifat-sifat kemanusiaan yang semakin terpinggir jauh dari diri sendiri betapa saya sudah jauh tersasar…

Semoga sumbangannya menjaga keselamatan petugas Harakah, menjamu kucing, menyua biskut dan sesekali berceloteh menemani kami, dijunjung dan diganjarkan Allah.

“Dan maafkan saya Pak Cik… kerana tidak berkesempatan bersua malah tidak mampu melakukan solat jenazah.

“Pak Cik….mungkin setelah disiapkan tugas-tugas dan kerja yang tak habis-habis ini…saya akan buat solat jenazah ghaib sebagai penebus rasa bersalah saya….yang juga mungkin tidak dapat ditampung walau secebis pun,” getus saya dengan hati yang cukup sebak.

Maafkan saya kerana catatan ringkas ini, dibuat dalam keadaan tergesa-gesa, sebak dan penuh rasa simpati yang mungkin tidak dapat merakamkan seluruh jalan cerita kehidupan seorang manusia biasa yang tiada nama namun punya jasa….Al-Fatihah.

(cacatan ringkas ini ditulis pada hari sama Birang kembali mengadap illahi dan dikebumikan jam 10 pagi tadi)

dipetik dari harakahdaily-
thefarhans.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s