Tajdid Iman: Elak bisikan syaitan beri sedekah

Posted: Julai 18, 2006 in motivasi, pendidikan

Oleh Dr Juanda Jaya

Harta adalah ujian untuk menentukan keimanan seseorang
KEPUASAN rupanya bukan sekadar mendapatkan sesuatu yang kita mahu, tetapi memberikan sesuatu kepada orang lain. Justeru, itulah setinggi-tinggi kepuasan. Apabila seseorang berterima kasih, menghargai atau cukup dengan isyarat mata dan senyumannya, sesungguhnya kita berasa seperti sedang menjulang trofi penghargaan yang berprestij di hadapan jutaan manusia. Bahagia, puas dan bangga kerana dapat memberi sesuatu yang bernilai. Menolong dan membantu sesama manusia.

Tetapi sayang, di lubuk hati yang terang adakalanya gangguan. Ketika memberi memang ikhlas, tetapi hendaklah berhati-hati jika yang diberi membalas dengan kejahatan. Adakah kita mampu menahan lidah daripada mengungkit ‘jasa’ kita dulu? Kalau tidak tertahan mulut menggatal kerana kecewa dengan balasan yang diterima, maka habislah pahala yang dahulunya disemai.

Allah SWT mengingatkan kita jangan mengungkit sedekah dengan perkataan yang menyakitkan. Firman-Nya bermaksud:“Perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan perbuatan dan perkataan yang menyakitkan hati. Dan ingatlah Allah Maha Kaya lagi Maha Penyabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 263)

Kalau hendak bersedekah semata-mata ingat kepada pahala, kadang-kadang kita menjadi tertipu oleh niat itu. Contohnya, anda memberi kepada orang yang tidak patut diberi, semakin anda menolongnya, dia semakin malas berusaha, tidak bertanggungjawab terhadap dirinya dan sentiasa bergantung kepada anda.

Sedekah seperti inikah yang akan diterima Allah? Allah mengancam mereka yang suka meminta-minta seperti dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya meminta-minta itu dilakukan oleh seseorang di antara kamu sehingga dia akan bertemu Allah dalam keadaan tidak ada di wajahnya sepotong daging pun.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Itulah hukuman bagi yang meminta-minta. Bagaimana pula halnya dengan yang memberi? Mereka yang memudaratkan si peminta itu dengan kemurahannya, bagaimana kedudukannya? Bukankah Allah akan menyoal setiap sen daripada harta kita; di mana ia dikeluarkan dan apa kesan daripada perjalanan setiap sen itu dihulurkan?

Sungguh berat ujian memiliki harta! Sehingga pada suatu hari Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Wahai orang Muhajirin yang miskin! Aku membawa berita baik iaitu cahaya yang sempurna pada hari perhitungan (Mahsyar) dan kamu akan memasuki syurga terlebih dulu daripada orang kaya dengan perbezaan setengah hari dan setengah hari ini bersamaan dengan 500 tahun (hidup di dunia).” (Hadis riwayat Abu Daud dari Abu Said al-Khudri).

Mengapa lambat benar perhitungan bagi orang kaya yang beriman? Sebabnya adalah amanah hartanya. Tetapi, hadis ini tidak bermaksud bahawa orang yang terlambat masuk syurga itu rendah kedudukannya daripada mereka yang lebih dulu masuk.Ia hanya bertujuan memberi motivasi hiburan kepada orang Muhajirin yang miskin supaya jangan bersedih dengan kesusahan yang menimpa mereka. Bahkan, di tangan orang kayalah dakwah Islam dibantu.

Abu Bakar, Usman dan Abdul Rahman Auf adalah sumber dana bagi Rasulullah SAW. Di manakah kedudukan mereka? Sesungguhnya mereka termasuk 10 sahabat yang dijamin masuk syurga. Merekalah antara kekasih Rasulullah SAW yang paling berjasa untuk dakwah Islam.

Mengapa harta yang kita miliki di dunia senang untuk dihitung? Tetapi jika menghisabnya untuk persiapan audit hari akhirat rasa susah? Semua manusia boleh menjadi pakar matematik yang handal jika menghitung untung rugi hartanya.Betapa sayang dengan hasil jerih payah kita itu. Kadang-kadang hati berbisik: ”Untuk apa bersedekah, adakah orang lain merasakan apa yang aku rasakan ketika mencari harta ini? Terpaksa tidak tidur malam, berkejar ke sana ke mari, tidak cukup rehat, makan dan minum tidak kenyang kerana urusan pelaburan, perniagaan, hutang piutang yang memeningkan kepala? Orang lain tahu apa? Tahu nak meminta saja?”

Sungguh hebat bisikan syaitan yang mampu mengaburi janji Allah kepada mereka yang berinfaq di jalan-Nya. Iaitu dalam Firman-Nya yang bermaksud: ”Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah ialah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas kurniaan-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Pastikanlah setiap sen yang anda belanjakan mempunyai matlamat yang jelas iaitu keredaan Allah, walaupun mungkin tersilap ketika memberi tetapi ia pasti bermanfaat bagi yang diberi.Seperti dalam hadis ada disebutkan kisah seorang yang bersedekah kepada tiga orang yang salah iaitu kepada perompak, penzina dan orang kaya. “Orang itu berkata, tak mengapa aku tak tahu dia adalah seorang perompak, mudah-mudahan dengan pemberianku itu ia dapat memulakan hidup baru, begitu juga dengan si penzina mungkin dia akan bertaubat. Dan kepada orang kaya, dia berkata: semoga dengan sedekahku itu menjadi pendorong untuknya supaya ia mahu bersedekah juga.”

Sebagai renungan bagi kita fikirkanlah kata-kata Shaikhul Islam al-Imam Ibnu Taimiyah yang bermaksud: ”Zuhud itu adalah meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat bagi akhirat.” Bukan seperti yang sesetengah orang percaya bahawa zuhud itu ialah menolak dunia dan membenci kekayaan. Ini adalah fahaman yang terseleweng dan berbahaya. Kerana kemiskinan itu dekat kepada kufur.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s